Assalamualaikum dan Salam Ramadhan... =))
ULTRAS MALAYA...menjadi satu fenomena di negara kita |
TERASA bagaikan disuntik semangat yang membara tatkala melihat gelagat bertenaga sekumpulan anak muda menyanyi dan melaungkan kata-kata sokongan sehingga membuatkan hati melonjak untuk turut sama menyertai mereka.
Aksi mengibarkan Jalur Gemilang, mengangkat mafela bertulis ‘Malaysia’ sambil diiringi pukulan gendang dan tiupan hon menarik perhatian sehingga menyebabkan orang ramai berkumpul dan mengikut gelagat mereka.
IRING...teriakan beramai-ramai diiringi bunyi gendang dan drum yang menggegar dada |
Menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Malaya (UM), kumpulan penyokong pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya itu melaungkan kata setia dan akan terus berdiri di belakang pasukan negara biar apa pun terjadi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan selain prestasi pasukan Harimau Malaya yang memuncak, sokongan diberi mereka menjadi antara faktor stadium sesak ketika sebarang perlawanan membabitkan pasukan negara.
Ditubuhkan empat tahun lalu, pengasasnya yang hanya mahu dikenali sebagai Freddie berkata, semuanya bermula daripada rentetan kekalahan demi kekalahan dialami Harimau Malaya dalam perlawanan Piala Asia pada 2007.
Perasaan geram, marah dan sedih semuanya bercampur dan mendorong dia mewujudkan laman web www.harimaumalaya.com sebagai ruang bagi peminat meluahkan emosi masing-masing.
“Sebagai peminat, saya sedih dan geram apabila melihat pasukan negara dibelasah begitu teruk, sedangkan ketika itu kita menjadi tuan rumah.
“Walaupun kecewa dan hampa, saya bersama rakan lain tetap memberi sokongan kepada pasukan negara dan sentiasa hadir menyaksikan perlawanan mereka,” katanya.
AKSI TERSENDIRI... menjadi identiti kepada Ultras Malaya |
Menurutnya, selepas prestasi pasukan negara yang tidak menentu, stadium berubah menjadi kosong dan sunyi daripada kehadiran penonton, malah keadaan itu benar-benar membuatkan keadaan suram.
“Jika dikira, hanya 20 peminat yang masih setia dan kami sentiasa berhubung antara satu sama lain, malah berkongsi cerita dan maklumat.
“Daripada situ tercetusnya idea untuk mewujudkan medium bagi peminat untuk berkongsi pengalaman atau berkumpul bersama-sama memberi sokongan kepada pasukan negara, maka terlahirlah Ultras Malaya,” katanya.
Menggunakan warna hitam dan kuning yang sama dengan jersi pasukan negara, kelibat mereka ketika menyaksikan perlawanan bola sepak mudah dikenali.
Lagu dinyanyikan dan kata semangat dilaungkan bukan hanya menjadi motivasi kepada pemain, malah turut membangkitkan perasaan ‘fanatik’ di kalangan peminat.
Bermula di sekitar Lembah Klang, pengaruhnya tersebar ke seluruh negara sehingga munculnya serpihan atau ‘anak’ kepada UM yang mewakili semua negeri di Malaysia.
Namun apabila menyaksikan perlawanan membabitkan kesebelasan utama negara, mereka bersatu di bawah satu nama kerana ‘subjek’ yang akan menerima sokongan itu adalah sama.
Freddie berkata, buat masa ini mereka mempunyai lebih 40 lagu pendek yang akan didendangkan sebelum dan ketika sesuatu perlawanan berlangsung.
“Hampir semua lirik direka oleh kami kerana ada ahli mempunyai kebolehan itu, manakala lagunya diadaptasi daripada irama muzik nusantara.
“Kami bukan hanya menyanyikan sebarang lagu, sebaliknya lirik itu ditulis menggunakan ayat mudah tetapi pada masa sama mengandungi kata-kata sokongan bagi menyemarakkan semangat pemain,” katanya.
SOKONGAN... sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan Harimau Malaya |
Mereka juga mencari ruang dan peluang untuk menghantar wakil bagi memberi sokongan ketika perlawanan di luar negara, malah tidak lokek mengeluarkan duit poket sendiri asalkan pasukan negara tidak ‘keseorangan’ di tempat lawan.
Walaupun sinonim dengan bola sepak, masih ramai tidak tahu UM turut menjadi penyokong sukan lain, antaranya badminton dan hoki.
“Kami menyokong sebarang sukan demi nama Malaysia selari dengan cogan kata kami iaitu ‘Sehingga ke titisan darah terakhir’ (Until the last rebel) walaupun jiwa kami lebih terarah kepada bola sepak.
“Menyanyikan ‘chant’ (lagu) dan berkumpul beramai-ramai seakan-akan menjadi ketagihan dan kami sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyatakan sokongan kepada pasukan negara mengikut cara kami,” katanya.
Menurutnya, sokongan diberi tidak bermusim sebaliknya sepanjang masa, tidak kira sama ada mencatat kemenangan mahupun kekalahan kerana mereka tidak bersifat berat sebelah.
Bagaimanapun, di sebalik sokongan diberi, ada pihak memandang sinis dan tidak senang dengan perlakuan mereka, namun bagi mereka perjuangan adalah satu iaitu menyatakan sokongan kepada pasukan negara walau apapun terjadi.
Bagi Hudd Samad, 27, dia menyertai UM sekitar awal 2010 selepas melihat gelagat sokongan yang tidak berbelah bagi biarpun pada ketika prestasi pasukan negara tidak menentu.
Katanya, dia sering ke stadium seorang diri kerana rakannya lebih gemar menyaksikan perlawanan bola sepak luar negara dan bagi mereka, bola sepak tempatan tidak mencabar.
“Saya meminati bola sepak tempatan kerana sejak kecil saya ‘diajar’ ke stadium menyaksikan perlawanan itu dan secara tidak langsung semangat itu meresap dalam diri saya.
“Setiap kali menyaksikan perlawanan pasukan negara, kelibat UM pasti kelihatan dan sejujurnya saya kagum melihat sokongan diberi biarpun hampir keseluruhan stadium kosong,” katanya.
Hudd yang juga terbabit dalam menulis lirik chant UM berkata, dia mendapat ilham menulis lirik berdasarkan apa yang dilihat dan dialami ketika menyaksikan perlawanan di stadium.
Katanya, setiap lirik ditulis mengandungi mesej tertentu dan menjadi sasaran mereka melihat mesej berkenaan sampai kepada pemain supaya sedar peminat tetap berdiri di belakang.
“Kami menulis lirik bukan untuk ‘syok’ sendiri, sebaliknya mahu mengalirkan ‘tenaga’ positif kepada pemain kerana ia sedikit sebanyak mampu mempengaruhi emosi pemain.
“Kita harus faham bahawa tidak semua perlawanan akan berakhir dengan kemenangan dan jika sering dimaki dan dihina, moral pemain akan merudum, sekali gus menyebabkan prestasi mereka juga terjejas,” katanya.
Credit to ChiqahPhotography |
Katanya, pemain memerlukan motivasi untuk menjana prestasi terbaik dan di sinilah peminat perlu memainkan peranan.
“Jatuh bangun bola sepak bukan hanya terletak di bahu pemain, tetapi peminat juga harus memikul tanggungjawab itu biarpun pelbagai rintangan dan halangan perlu ditempuh.
“Kami di UM bertekad untuk terus menyatakan sokongan padu pada Harimau Malaya dan berkongsi setiap detik tidak kira detik indah mahupun pahit kerana Malaysia tanah tumpah darahku,” katanya.
Mengulas salah tanggapan terhadap UM, katanya, mereka mengekspresikan sokongan menerusi cara sendiri biarpun fenomena ultras itu diadaptasikan dari luar negara.
Katanya, di luar negara ultras lebih terkenal kepada keganasan dan pemberontakan, namun bagi UM mereka tetap menerapkan elemen tempatan dan ‘memberontak’ demi kebaikan sukan negara.
“Tidak dapat dinafikan ada yang tidak suka cara kami kerana sering dianggap suka berbuat bising, namun perlu difahami bahawa kami melaungkan kata sokongan, bukan cacian.
“Malah kami tidak membaling botol, membakar mercun mahupun melakukan kerosakan kerana kami juga tahu undang-undang dan sokongan kami adalah bermaruah,” katanya.
Menurutnya, melakukan provokasi kepada penyokong pasukan lawan adalah perkara biasa kerana ia mewarnakan dunia bola sepak, namun tidak sampai ke tahap melampau.
Ultras Malaya during Malaysia vs Singapore at SNBJ Credit to Honey IsyQi Corporation |
Source: METRO
SEKIAN
1 Responses So Far:
nice article
Post a Comment