This is an example of a HTML caption with a link.
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts

Friday, September 14, 2012

Maafkan Aku Wahai Suami

Assalamualaikum dan Salam Jumu'ah... =D

Alhamdulillah baru setel siapkan report for my customer about motor la, torque, rotor dan macam-macam lagi. Fuhh pening kepala tengok equation yang berjela-jela. Terpaksa study balik pasal Electronic, payah jugak nak terima bcoz ni bukan subject favret time study dulu. Huhuu... Alhamdulillah again dipermudahkan segalanya untuk terima ilmu ini. Say thanks to Allah... =D

Time otak tengah serabut ni, tetiba jer rasa nak bukak blog Ustaz Pahrol, then terbaca satu entry yang agak menarik jugak. Actually Ustaz Pahrol ni salah seorang yang penulis yang Hani kagumi. Buku dia NOTA HATI SEORANG LELAKI memang sangat-sangat bermanfaat. Maybe ramai yang tak tahu beliau ada blog, so kat sini nak share satu entry yang bertajuk 'Maafkan Aku Wahai Suami'. Bukan yang dah kawen jer boleh baca, yang blom kawen pun disarankan untuk baca yer. hahaa.. 


************************************

Untuk mereka yang meminta saya menulis NOTA HATI SEORANG WANITA… saya dahulukan dengan tulisan dan sajak di bawah. Mudah-mudahan dapat dijadikan muhasabah dan panduan seseketika menghadapi ujian rumah tangga – medan jihad yang di sana bermulanya segala JIHAD yang lebih besar.

Terimalah MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI...
Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.
Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.
Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.
Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!
Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh. 
Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!
Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.
Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.
Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?
Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.
Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.
Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.
Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.
Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:

“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?

Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:

“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”

Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.
Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.
Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.
Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.
Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

MAAFKANKU WAHAI SUAMI

Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!


Credit to Ustaz Pahrol

ApaKataHoney: Untuk pedoman bersama... =)



Thursday, May 3, 2012

Wanita Lamar Lelaki Amalan Terpuji

Assalamualaikum... =))

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.

Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.

Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup. Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya. Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh. Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya. Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya? Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.

Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.

Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)


Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.

“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.

“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.

“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.

“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.

Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.


Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.

“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.

“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.

“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.

“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.


ApaKataHoney: Barakallahu Lakuma untuk semua sahabat yang berjaya membina Baitul Muslim. Semoga berbahagia hingga ke Syurga... Aameennn.. =)




Monday, March 5, 2012

Perlu Arif Tabiat Lelaki

Assalamualaikum... =))

Lelaki oh Lelaki... Ramai kawan Honey yang selalu mengeluh dan meluahkan segala rasa mengenai kaum Adam ni. Semakin meningkat umur, semakin banyak cerita dan pengalaman yang ditempuh, tapi belum cukup untuk membuatkan kita tahu sepenuhnya mengenai tabiat lelaki. Even yang dah kawen bertahun-tahun pun still tak arif lagi mengenai pasangan mereka. Hehehe... Jadi di sini Honey nak share satu situasi yang mungkin dapat membantu kita mengetahui dan memahami sedikit mengenai lelaki.

********************************************


"Tit..Tit....", Tiba-tiba, ada sebuah SMS masuk.
Saudari,
Awak kelihatan sangat solehah. Sudikah awak membimbing diri saya yang jahil ini. Saya mahu berubah. Saya ikhlas dahagakan petunjuk.  -Classmate-
"Membimbing atau mengajak bercinta?" hati saya mempersoal.
Jika ikhlas mencari petunjuk, dia sepatutnya berjumpa ustaz, bukan berjumpa saya. Berjumpa saya hanya menyebabkan ruang  maksiat terbuka luas.
Sekalipun dia mengajak saya bernikah agar saya dapat mengubahnya, saya tidak boleh jahil tabiat lelaki. Lelaki lazimnya tidak suka sekiranya seorang isteri mengubah dirinya. Sekiranya peluang membuat perubahan itu ada tapi tidak boleh terlalu dipercaya. Peluangnya tipis sahaja.
Tatkala lelaki memegang darjat suami, keegoan mudah merasuk diri. Sukar mengikut kehendak orang lain apatah lagi kehendak isteri. Mengubah tabiat lelaki sangatlah payah. Apatah lagi, sekiranya cara hidupnya terbiasa dengan alpa dan dosa sejak muda.
Perlukah saya memperjudikan masa depan dengan menikahi lelaki yang tidak mampu membimbing diri sendiri? Adakah dia mempunyai modal untuk membimbing keluarganya nanti?
"Orang minta bimbingan saja. Kenapa fikir jauh sampai soal nikah?" syaitan mengejek saya.
"Jika aku berani memulakan, kena fikir kesudahan. Nikah dengan lelaki sebegini atau membiarkan anggota badan berzina. Baik abaikan sahaja." Saya patahkan hujah syaitan.
Seorang rakan menuju ke arah saya kemudian duduk di sebelah.
"Ramai kawan-kawan kita suka gandingkan nama awak dengan Presiden. Boleh saya tahu hal sebenarnya?" dia mengorek rahsia.
"Itu gosip sahaja. Kami tiada apa-apa," jawab saya.
Saya menyembunyikan rahsia bahawa memang benar Presiden pernah menghantar surat risikan kepada saya. Cuma, istikharah dan musyawarah saya dengan ibubapa belum mengatakan dialah orangnya. First thing first.
"Alhamdulillah. Saya sebenarnya sudah lama minat pada Presiden," dia meluahkan.
Saya tidak pelik mendengarnya. Wanita yang baik mudah tertarik kepada lelaki yang baik. Itu fitrah. Wanita yang jahat mudah tertarik kepada lelaki yang jahat. Begitulah sebaliknya. Saya tadahkan telinga mendengar bicara hatinya.
Katanya, yang ini lain. Rasa tertarik itu pada kesolehannya. Pada akhlaknya. Pada kesamaan visi dan misi dalam dakwah. Masing-masing tahu ada batasan. Dilemanya, hati mendesak untuk memberi perhatian. Hati mendesak untuk menunjukkan sikap memahami. Hati mendesak untuk saling berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran.
"Andai bertemu, berpandangan, atau SMS muncul pula rasa bersalah, gelisah, menyesal dan takut membuat Allah murka. Kenapa ya?" dia mula resah.
"Kerana hati awak masih hidup mengenal mana dosa dan mana pahala," jawab saya.
"Lepas saya mengungkap cinta kerana Allah, dia seakan menjauhkan diri. Salahkah saya?" dia bertanya.
"Tanyalah hati. Bimbang, ungkapan cinta Yang Esa tapi pengisian leka dari-Nya," jawab saya.


**********************************************
Saya berkongsi pendapat dengannya. Dalam hubungan yang tidak halal, cinta yang fitrah amatlah senang bertukar menjadi fitnah. Sukar mengenali mana cinta dan mana nafsu kerana topengnya handal, sukar dikenali. Orang yang biasa mendidik hati mampu mengenalinya.
Selepas rakan saya itu beredar, saya jadi tertanya-tanya. Kenapa wanita kaya, cantik, bijak, menarik dan solehah sepertinya tidak mendapat tempat di hati Presiden? Kenapa Presiden lebih sanggup cuba mendapatkan saya? Saya cuma seorang gadis yang sangat sederhana.
Saya semakin arif tabiat lelaki. Secara semulajadinya, lelaki sukakan cabaran. Yang mudah menyerah diri, mudah pula disakiti. Yang sukar didapati, semakin bersungguh dia mencari. Maka, saya perlu terus menghunus duri. Agar cinta ini terpelihara untuk seorang suami yang diredhai Ilahi.
Saya mesti terus belajar tabiat lelaki. Bukan untuk menyaingi atau mengalahkan mereka. Saya cuma tidak mahu diperdaya. Saya melihat betapa ramai wanita telah dipermainkan. Mereka gagal mempertahankan diri. Mereka gagal keluar dari kebergantungan kepada permainan cinta sandiwara lelaki.
Saya tahu saya tidak mampu mengubah tabiat lelaki. Tapi saya mampu membantunya menjadi lelaki sejati. Bukan dengan cara melayan dan membimbingnya menjadi model lelaki idaman. Lelaki pasti mengambil kesempatan di atas sebuah kelembutan.
Caranya, saya mesti menghunus duri. Awas, jangan dekat! Jika mahu, dapatkan secara terhormat. Biar lelaki tahu, wanita itu untuk diselamat bukan diperalat untuk keseronokan sekejap.
Malah, setelah nanti saya telahpun bergelar isteri, saya tidak boleh berhenti untuk belajar tabiat lelaki. Lelaki suka berjanji dan cepat berubah hati. Saya melihat realiti masyarakat. Biar betapa baguspun seorang isteri melayani suaminya, masih ada lelaki yang gagal setia malah sesuka-hati memperdaya isterinya. Apatah lagi jika isterinya banyak kelemahan, ramai lelaki lebih suka menghukum daripada mendidik sehikmahnya.
Saya yakin, ada suatu rahsia yang menggerakkan tindakan lelaki. Saya mesti arif rahsia ini. What you see is what you get. Saya mesti bijak menyelaraskan 'sudut pandang' terhadap sesuatu isu sensitif yang melingkari alam rumah tangga sejak mula. Perlu juga ada jaminan undang-undang untuk mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan. Bukan kerana tidak percaya tapi kerana tabiat lelaki cepat berubah.


P/S: Kepada sahabat Honey, janganlah bersedih bilamana Lelaki itu pergi. Jangan tanya mengapa mengapa mengapa... They won't answer you, they won't give you the correct reason... Tabiat Lelaki memang macam tu. Sebagai sahabat, I just ble dengar and give some advise... Selebihnya mengadu pada Allah kerana dialah pendengar yang setia, pembantu dikala kesulitan. Yakinlah, yang terbaik akan menyusul, dengan izinNya. Amin...=)
Apa Kata Honey: Yup agreed. Tabiat lelaki memang cepat berubah...





Friday, February 17, 2012

Temui Jawapan pada Istikharah, bukan sekadar Cinta...


Assalamualaikum... =)

Memang, rasa suka dan cinta itu membantu dalam proses khitbah dan ber-baitul Muslim.
Malah, penting juga pada setengah keadaan, dalam keadaan terkawal, dipanjangkan proses taaruf, agar ada rasa kecendurangan dan suka pada yang mahu dinikahi.Malah, ada seorang ikhwah pernah mengatakan,''Pentingnya cinta itu lebih diutamakan daripada se'kufu'an dari sudut fikrah dan dakwah!''
Astaghfirullah.
Memang kita boleh memilih jalan hidup kita.Dan tentunya, apa sahaja jalan yang kita pilih, tentu akan berhadapan dengan ranjau serta durinya.Kerana ujian itu sahajalah tempat Allah menguji iman kita, dan tempat dia mengatakan kepada kita:'I love you my servant!'
Alangkah indahnya, di saat kita memilih salah satu jalan itu, kita memilihnya kerana Allah?Walaupun mungkin di sudut hati kita, ada kecenderungan mahupun kecintaan pada sesuatu yang lain.Dan tidak sedikit orang yang terkelabui malah tertutup hatinya di saat memilih pasangan hidup, akibat penangan cinta.
Lantas, pada istikharahnya sendiri, sudah memiliki kecenderungan pada yang dicintai. Kerana itu, aku amat memahami mengapa murabbi ku mendidikku untuk berkahwin dengan dakwah sebelum dengan ikhwah. Bukan kerana dia syadid, ataupun owh-mai-gowd macam malaikat, tapi kerana dia mahu mengajarkan aku sesuatu yang amat penting dalam hidupku;'No matter what happen to you in this life, jangan tinggalkan dakwah! Dan kembalikan hidupmu pada dakwah di saat penyelewangan mula berlaku.'
Bila kita memilih Allah dalam setiap perkara, di situ kita akan mengarahkan seluruh kehidupan untuk Dia. Malah menarik semua manusia yang berada dalam radar graviti kita, ke arah Dia. Dan tentu ini tidak mudah sama sekali.Malahan, setelah berkahwin, kita akan memastikan radar baitul muslim kita akan berpaksi dan kembali kepada Allah.Bukan sekadar pada sebuah cinta semata-mata.
Aku tahu kamu sedang mengalami dilema ini maka istikharahlah dengan sebenarnya.Aku katakan pada kamu dengan penuh kecintaan, istikharahlah. Istikharahlah! Dengan sekhusyuk dan sejujur hatimu supaya Allah menunjukkan jalan yang terbaik buat kamu dan supaya apa sahaja yang Allah takdirkan buat kamu, samada sukar mahupun senang, Allah akan bantu seluruh kehidupan kamu dan dakwahmu, dalam keadaan apa sekalipun.
Kerana Allah telah menyelamatkan diriku pada sebuah istikharah. Dan,setelah beristikharah dengan ramainya manusia. Sehinggalah aku amat bersyukur pada Allah, di saat Dia membukakan pada kami, tentang satu kisah dahulu yang sebenar. Walaupun pada satu detik, sebagai manusia biasa, aku serba salah dalam menolaknya.
Namun, Allah telah menyelamatkan aku, sehingga kebenaran terpamer pada dunia. Dan tentu aku amat bersyukur pada Allah, kerana dia membantu aku memilih Dia sebelum cinta, dan akhirnya cinta itu datang dengan sendirinya setelah Dia.
Di saat kamu benar-benar berpegang pada Allah, kamu kira Allah akan melepaskan tangan kamu?
Istikharah..
memohon Tuhan mempertemukan dengan dia,
seorang insan yang  Allah redha untuk ku panggil suami,
yang bersamanya, dapat ku bina usrati jannati,
moga kau permudahkan ya Allah..
AMIN~~~


Apa Kata Honey: Persoalan yang dicari, mampu kau gapai, melalui Istikharah... =)





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

VISITORS AROUND THE WORLD

free counters